Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Gangguan air di wilayah Hulu Langat susulan ganti injap malam ini

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyenggaraan penggantian injap di Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan hadapan The Mines pada 9 malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kawasan terjejas melibatkan Balakong; Green Park Resident; SL 6, SL9, SL10 dan SL 11 di Bandar Sungai Long; Taman Bukit Palma; serta Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara dan Jalan Mahkota di Bandar Mahkota Cheras.

“Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada jam 6 pagi, Rabu. Berikutan itu, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, Khamis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Menurutnya, Air Selangor akan menyediakan bantuan air alternatif ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengkebumian.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pengguna juga boleh merujuk kepada pautan hentitugas.airselangor.com.

-BERNAMA


Pengarang :