Petugas kesihatan, memberi kaunseling sebelum penerima bersetuju bagi mengambil suntikan pelalian Covid – 19 ketika Program vaksinasi khas guru kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jais serah nama individu enggan divaksin kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempersembah semua nama guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang masih enggan menerima suntikan pelalian kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Jumaat ini.

Pengarah Dato’ Shahzihan Ahmad berkata semua nama individu itu dipersembah kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi tujuan baginda meneliti dan membincang tindakan yang harus diambil.

“Semalam, Tuanku menitahkan supaya semua fakta-fakta program vaksinasi hari ini dilapor khususnya siapa tidak hadir dan enggan menerima suntikan. Tuanku pernah menitahkan kebimbangan golongan ini khususnya guru-guru kerana pelajar akan masuk ke sekolah tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad

“Penekanan Tuanku juga untuk mempertingkat kelompok imuniti supaya umat Islam mudah beribadah, anak-anak boleh belajar dan aktiviti agama dapat disegerakan. Ini keprihatinan Tuanku bukan isu memaksa atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu Shahzihan memaklumkan, seramai 872 guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah diarah hadir menerima suntikan pada hari ini.

“Setakat jam 11 pagi, 146 telah hadir tetapi 80 peratus daripadanya menolak terima vaksin. Mereka boleh hadir kerana kaunter dibuka sehingga jam 3 petang,” katanya.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.


Pengarang :