Dr G Gunarajah
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Kerajaan digesa benarkan spa, pusat kesejahteraan keluarga beroperasi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan diminta mempertimbangkan kebenaran operasi spa dan pusat kesejahteraan keluarga di Selangor pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengelak lebih ramai pengusaha gulung tikar.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata langkah itu dianggap wajar sepertimana sektor dandanan rambut dan pusat kecantikan yang beroperasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika ini.

“Pengusaha spa dan pusat kesejahteraan keluarga yang juga membabitkan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan merupakan pengendali berlesen serta bergantung pendapatan dengan membuat urutan kaki.

“Difahamkan industri ini menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 pekerja. Jika tidak diselesaikan secara tuntas dan inklusif, akan terdapat lebih ramai pengusaha terpaksa menutup perniagaan,” kata Dr Gunaraj George dalam kenyataan.

Beliau yang juga pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar melihat kewajaran sektor itu dibuka berikutan tiada lagi kluster spa direkodkan ketika ini.

“Kenyataan kerajaan mengatakan spa sebagai perniagaan berisiko tinggi akan membantutkan strategi pemasaran industri tersebut pada masa akan datang.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan sepatutnya bagi memastikan pemilik lesen mematuhi SOP,” katanya.

Dr Gunaraj menambah pembukaan sektor berkenaan membolehkan masyarakat mendapatkan rawatan terapi untuk kesihatan selepas terkesan rohani dan jasmani akibat pandemik.

“Sektor ini juga penting bagi kaum ibu yang memerlukan terapi ketika dan selepas bersalin,” katanya.


Pengarang :