EXCO Perumahan Rodziah Ismail mendengar penerangan dari Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad Dato’ Hoo Kim See berkaitan rumah contoh sempena penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemaju terbeban harga besi naik, kementerian perumahan diminta tangani isu

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Kerajaan Negeri menerima beberapa aduan daripada pemaju berhubung kenaikan harga besi dalam sektor pembinaan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata bagaimanapun kenaikan itu di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana di bawah tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sudah tentu kenaikan harga bahan binaan membebankan pemaju tetapi KPKT mungkin boleh memikirkan cara menangani isu ini dengan segera.

“Saya tidak pasti hala tujunya tetapi perlu lihat daripada sudut dasar bagaimana hendak seimbangkan ketika desakan hendak siapkan rumah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Kuala Selangor.

Kenaikan harga bahan asas dalam industri binaan khususnya harga besi menambah tekanan kepada kontraktor yang sebelum ini terjejas teruk akibat Covid-19.

Perkara itu diakui Pengerusi Guild of Bumiputra Contractors Berhad (WIBAWA) yang memaklumkan kenaikan harga besi antara 30 hingga 40 peratus menyebabkan projek sedia ada terjejas.

Datuk Ir Md Nasir Ibrahim menerusi kenyataan berkata pemaju terpaksa menghentikan pembelian sehingga harga tidak lagi membebankan.

Tambahnya, kesan kenaikan harga itu menyebabkan pemaju mungkin mengkaji semula harga rumah, perkhidmatan dan produk mereka.


Pengarang :