Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADNSELANGOR

Projek naik taraf saliran RM4.2 juta di Ulu Yam kurangkan masalah banjir

SHAH ALAM, 14 SEPT: Projek naik taraf sistem perparitan di Batu 30, Ulu Yam, Hulu Selangor yang bernilai RM4.2 juta diharap dapat mengurangkan masalah banjir berlarutan sejak sembilan tahun lalu.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong berkata projek diluluskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka bermula April tahun depan dan siap dalam tempoh 24 bulan.

Menurutnya, masalah banjir bermula pada 2012 apabila sistem pengairannya tersekat akibat pembinaan tembok oleh pemilik tanah.

“Jadi saya bangkitkan masalah ini dan akhirnya peruntukan diluluskan JPS.

“Diharapkan projek ini dapat mengurangkan masalah banjir yang menjejaskan hampir 100 keluarga daripada dua kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Isu banjir di Batu 30 antara masalah dibangkitkan Kee Hiong pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung 23 hingga 30 Ogos lalu.


Pengarang :