Khidmat ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. Foto Facebook ECRL
AGENDANASIONAL

Agensi negeri digerak bantah projek ECRL jajaran utara

SHAH ALAM, 5 OKT: Agensi Kerajaan Negeri digerakkan untuk membantah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di jajaran utara, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata bantahan secara rasmi itu dibuat selepas pameran awam penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang itu bermula 21 September lalu sehingga 19 Oktober ini.

“Kita telah mengarahkan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Pejabat Tanah Gombak, Pejabat Tanah Hulu Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk mengemukakan bantahan.

“Selain itu penduduk sekitar kawasan berkenaan yang terancam dan terkesan dengan projek ini juga kita minta mereka membuat bantahan,” katanya ketika dihubungi.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak akan membantu dari segi pengambilan tanah sekiranya kerajaan pusat tetap dengan pendirian mahu meneruskan projek di jajaran selatan itu.

“Mereka perlu hormat kerana tanah, hutan simpan dan air di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kesan projek ini sangat besar jika pencemaran sungai berlaku kerana terdapat empat loji rawatan air yang melibatkan 70 peratus pengguna di Lembah Klang.

“Kita bukan bantah ECRL kita bantah laluan jajaran itu jadi jangan salah faham. Sebaliknya kita juga mengemukakan pandangan jajaran selatan adalah lebih baik dan selamat dari pencemaran,” katanya.

Orang ramai khususnya mereka yang berada di jajaran utara boleh memanfaatkan sepenuhnya pameran awam EIA projek ECRL laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang untuk mengemukakan bantahan.

Laporan EIA itu boleh dibaca menerusi pautan https://bit.ly/ECRLC2EIA dan memberikan ulasan di https://bit.ly/ECRLC2_EIAFEEDBACK.

Dokumen itu turut dipamer di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur.

Selain itu, di Pejabat JAS Selangor di Wisma Sunwaymas, Shah Alam; Menara Majlis Perbandaran Selayang; Majlis Perbandaran Kuala Selangor; Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Pada 5 April, Kementerian Pengangkutan mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajar semula ke laluan asal (jajaran utara) seperti yang dicadangkan antara 2016 hingga 2017.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian projek itu perlu dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.


Pengarang :