Selangorkini
Petugas kesihatan mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu menurun, tiga lagi kluster dikenal pasti

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kes baharu Covid-19 menurun kepada 5,666 kes hari ini daripada 5,828 kes semalam, manakala 6,978 kes sembuh direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster baharu direkodkan dengan masing-masing satu kes melibatkan kluster tempat kerja di Johor, kluster kumpulan berisiko tinggi juga di Johor dan kluster komuniti di Selangor.

“Daripada 5,666 kes harian yang dilaporkan hari ini, 107 kes atau 1.9 peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 5,559 kes atau 98.1 peratus lagi terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Selain itu, 20 kes melibatkan kes import iaitu 14 warganegara dan enam bukan warganegara serta kes tempatan ialah 5,646, dengan 5,449 daripadanya warganegara dan 197 bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Mengenai kes di unit rawatan rapi (ICU), Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 601 kes memerlukan rawatan di ICU dengan 299 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.87 dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt paling tinggi iaitu 1.0 manakala Labuan satu-satunya negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my

Data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA

 


Pengarang :