Selangorkini
Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama wakil syarikat ketika pelancaran Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 12 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja mulai 23 Oktober, tawar 25,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 12 OKT: Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berlangsung secara hibrid, EXCO pembangunan generasi muda berkata hampir 200 syarikat menyertai siri jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan peluang pekerjaan ditawarkan meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

“Program ini menjadi medan interaksi yang proaktif antara pencari kerja dan pemain industri selain memperincikan laluan kerjaya mengikut kecenderungan personaliti dan minat.

“Syarikat terlibat akan mendahulukan penglibatan dalam kalangan warga tempatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Selangor,” katanya selepas majlis pelancaran di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berharap golongan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja supaya mengambil peluang menyertai program dengan mendaftar di laman sesawang www.selangorbekerja.com.my.

Menurutnya, anggaran masa pencari kerja semasa di ruang temu duga tidak lebih sejam selain perlu mempamerkan bukti vaksinasi lengkap serta mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera atau Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)

2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)

3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)

4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)

5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)

6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)


Pengarang :