AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: 109 kes varian Delta, tiga Beta dikesan di Selangor

SHAH ALAM 7 OKT:  Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti sebanyak 109 lagi kes varian membimbangkan (VOC) Covid-19 di Selangor melibatkan jenis Delta dan tiga kes Beta sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 392 kes VOC yang dicatatkan dari 25 September hingga semalam dengan 384 kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) manakala lapan lagi Beta (B.1.351).

Kata beliau, varian tersebut berjaya dikesan melalui kajian dijalankan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Faculty of Medicine (FOM-UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM).

Turut terlibat Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome Institute (MGI) dan Institute for Medical Research (IMR).

“UMBI-UKM telah mengenal pasti sebanyak 91 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“FOM-UM mengenal pasti sebanyak 83 kes iaitu 79 kes varian Delta (B.1.617.2) dan empat kes varian Beta (B.1.351),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, iPROMISE-UiTM pula telah mengenal pasti sebanyak 77 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

Tambahnya, TIDREC-UM telah mengenal pasti sebanyak 51 kes iaitu 50 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351).

Kata beliau, MGI telah mengenal pasti sebanyak sebanyak 48 kes iaitu 47 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351) manakala IMR  mengesan 40 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).

Menjelaskan lebih terperinci, Dr Noor Hisham berkata, VOC Beta turut dikesan di Sabah melibatkan tiga kes manakala masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Tambahnya, bagi varian Delta pula Pulau Pinang  mencatatkan 46 kes diikuti Kuala Lumpur (42), Negeri Sembilan (34), Pahang (33), Melaka (31), Johor (28), Sabah (21), Terengganu (16), Kelantan (12), Perak (tujuh), masing-masing dua di Putrajaya dan Labuan serta satu di Kedah.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian di bawah pemantauan (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes,” jelas beliau.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,232 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah varian mempunyai kepentingan (VOI), katanya.

Secara keseluruhan kata Dr Noor Hisham,  sehingga kini terdapat sebanyak 1,996 kes  VOC varian Delta, Beta (222) dan Alpha (14).

Bagi VOI, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyemak semula kategori ini pada 30 September lepas.

Terdapat hanya dua VOI yang baharu iaitu Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) manakala Theta, Kappa dan Eta telah dikategorikan sebagai (VUM).

 


Pengarang :