Kakitangan Hotel Adya, Kuah, Nadhirah Ahmad Zaini bersedia menyambut ketibaan tetamu sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi ketika tinjauan pada 15 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langgar SOP punca lebih 50 pekerja hotel Langkawi positif Covid-19

SHAH ALAM, 4 OKT: Tidak patuh tatacara operasi piawai (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan menjadi punca lebih 50 pekerja sebuah hotel di Langkawi, Kedah dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata kluster Dah Teluk Nibung tiada kaitan dengan kes pertama wabak melibatkan pelancong kanak-kanak di pulau itu minggu lalu.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat tidak patuh SOP di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini seramai 254 orang disaring dengan 59 kes positif, 187 individu negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes jangkitan adalah kategori satu dan dua sahaja, semua pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah hotel terkemuka di Langkawi yang dikaitkan kluster Dah Teluk Nibung diarah tutup susulan lebih 50 kakitangannya dikesan positif sejak 1 Oktober lalu.


Pengarang :