Perunding kewangan Ahmad Shukri Abd Halim,31, menyatakan minat membeli rumah di projek Rumah Idaman Elmina selepas pelancarannya semalam.
SELANGOR

Rumah Idaman: Lokasi strategik, harga berpatutan tarik pembeli muda

SHAH ALAM, 28 OKT: Harga berpatutan dan terletak berhampiran kemudahan seperti hospital membuatkan sepasang suami isteri tidak berfikir panjang untuk menyatakan minat membeli rumah projek Rumah Idaman diperkenal Kerajaan Selangor.

Menurut Siti Razini Mohd Pakhruddin, 30, beliau dan suaminya Mohd Khairul Anuar Abdul Rahman,34, sudah lama menyimpan hasrat memiliki rumah sendiri selepas kembali bertugas sebagai guru di Lembah Klang namun belum kesampaian atas faktor kos.

“Bila dengar pengumuman Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) kami terus isi borang menyatakan minat beli kerana harga RM250,000 memang berpatutan, di Puchong susah hendak dapat rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi ditambah kemudahan dengan harga sebegitu.

Pasangan guru, Siti Razini Mohd Pakhruddin, 30, dan Mohd Khairul Anuar Abdul Rahman.

“Paling penting rumah kami pilih itu terletak berhampiran sekolah, klinik kesihatan dan pusat beli-belah… hendak ke Hospital Serdang dan Putrajaya pun tidak jauh,” katanya menjelaskan mereka sekeluarga kini tinggal di rumah pusaka keluarga suaminya di Kampung Sri Puchong.

Tawaran rumah itu juga menarik perhatian seorang perunding kewangan Ahmad Shukri Abd Halim,31, yang memilih unit rumah di projek Rumah Idaman Elmina untuk didiami bersama isterinya.

“Harga memang berpatutan mengambil kira lokasi dan kemudahan disediakan antaranya televisyen, dua lot parkir dan kabinet.

“Projek Rumah Idaman ini satu projek sesuai untuk keluarga muda seperti kami bagi membina kehidupan,” katanya yang berasal dari Pandan Indah.

Semalam, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri membangunkan enam projek Rumah Idaman untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek dengan kerjasama anak syarikat LBS Bina Group, MGB Berhad dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Setiap unit rumah yang dijual pada harga RM250,000 memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.


Pengarang :