Mazwan Johar (kiri) menyampaikan komputer riba kepada seorang pelajar (tengah) di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal pada 28 September 2021. Foto ihsan Mazwan Johar
ADNSELANGOR

DUN Sungai Ramal belanja lebih RM300,000 agih bantuan sejak pandemik

SHAH ALAM, 8 NOV: Lebih RM300,000 diperuntuk untuk agihan bakul makanan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal yang terjejas pendapatan akibat pandemik sejak Mac tahun lalu.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata pihaknya turut mengagihkan pelitup muka, kit saringan kendiri Covid-19.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha dalam memberi galakan supaya masyarakat menjaga tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Mazwan menjelaskan pihaknya juga memperuntukan RM45,000 untuk membeli komputer riba yang diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Setakat ini sebanyak 20 komputer riba sudah diagihkan sejak September lalu. Seramai 10 lagi penerima akan menerima komputer riba pada bulan ini,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

 


Pengarang :