Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) meninjau serta membeli sayuran dipasarkan di Gerai Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS, Seksyen 14, Shah Alam pada 30 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan sayuran PKPS bantu ringan beban rakyat, wajar dicontohi

SHAH ALAM, 30 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan jualan sayuran menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat adalah membanggakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata usaha itu wajar dicontohi kerajaan persekutuan supaya terus membantu mengurangkan beban rakyat ketika berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran.

“Apabila ada krisis dan PKPS tampil mengadakan jualan seperti sayur yang harganya boleh diturunkan sehingga RM1.50 hingga RM2 kerana ada food valley dan ladang sendiri yang dapat mengurangkan kos.

“Saya mengikuti perkembangan dan rasa patut beri sokongan dan ini contoh membanggakan oleh Kerajaan Selangor serta harap negeri lain dan kerajaan persekutuan ambil tindakan segera harga sayur, ikan yang semuanya naik,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke gerai jualan sayuran anjuran PKPS diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi hari ini.

Anwar menyifatkan kerajaan persekutuan gagal kerana tidak mengambil langkah segera dalam mengatasi krisis kenaikan harga ketika ini.

“Mana agensi-agensi kerajaan persekutuan yang sepatutnya ada seperti Fama, Mardi. Seharusnya mereka turun dan kurangkan beban, bawa daripada ladang supaya petani serta pengguna dapat harga baik.

“Ini saya sebut di Parlimen (berkaitan) krisis nasional yang membebankan rakyat. Ini baru hendak buat mesyuarat, selaras dan ada rancangan khas, tidak jalan serta semua agensi perlu bekerjasama,” katanya.

Gerai jualan sayuran anjuran PKPS dibuka bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Ahad di Wisma PKPS.


Pengarang :