Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan menyantuni seorang remaja yang menerima suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Selayang pada 14 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 4,000 terima vaksin Selangor di Taman Templer

SELAYANG, 14 NOV: Lebih 4,000 individu menerima manfaat tiga siri Program Vaksin Selangor (Selvax) yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Wakil rakyat Mohd Sany Hamzan berkata jumlah melibatkan lebih 3,000 individu dalam dua program Selvax Komuniti manakala Selvax bergerak melebihi seribu peserta.

“Hari ini kita jayakan pula Selvax Remaja dengan peruntukan 500 dos vaksin jenis Sinovac. Sasaran kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

“Bagaimanapun kita tetap terima individu yang masih belum disuntik termasuk warga asing kerana program sememangnya bertujuan memastikan tiada rakyat tercicir menerima pelalian,” katanya ketika meninjau program berkenaan di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah di sini.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Pada Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Inisiatif membabitkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :