Selangorkini
Jongkong aluminium yang disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di sebuah kilang beroperasi tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Sungai Choh pada 9 November 2021. Foto MPHS
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPHS sita kilang haram, rampas 56 jongkong aluminium bernilai RM300,000

SHAH ALAM, 16 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita sebuah kilang beroperasi tanpa lesen serta merampas 56 jongkong aluminium bernilai RM300,000 di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, dekat Serendah.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata dua pekerja warga China turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen sah dalam operasi pada 9 November lalu.

“Ketika tiba di lokasi, pintu pagar utama premis tidak berkunci dan anggota operasi menemui dua penjaga premis, lima forklift dan longgokan 56 jongkong aluminium.

“Ini merupakan sitaan terbesar dilaksana oleh MPHS, hasil pemeriksaan mendapati premis ini masih beroperasi berdasar kepada susun atur peralatan dan sisa bahan mentah di atas lantai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Hasry pemeriksaan dalam premis itu dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007.

Selain aluminium, turut disita lapan tong gas lima forklift, masing-masing empat unit monitor, papan kekunci, komputer, tiga mesin cetak dan satu unit penimbang digital.

“Semua barang yang disita telah dibawa ke stor simpanan untuk proses simpanan serta tindakan selanjutnya,” katanya.


Pengarang :