AGENDANASIONAL

Paip pecah, bekalan air 13 kawasan di Kuala Lumpur pulih berperingkat esok

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Sebanyak 13 kawasan di Kuala Lumpur kini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat insiden paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menutup bekalan air pada 11.30 pagi tadi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan.

“Kawasan-kawasan yang terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya esok pada 11.30 pagi dan para pengguna akan mula menerima bekalan air secara berperingkat selepas kerja-kerja siap dilaksana,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor berkata pihaknya akan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki berkenaan.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :