Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM2 juta wujud taman industri halal pertama di Malaysia

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM2 juta diperuntuk untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurut  beliau, tiga perancangan di bawah Pelan Tindakan Halal Selangor (SELHAP) 2018-2028 turut dilaksana bagi mewujudkan portal halal berpusat yang mengumpul pihak berkepentingan di Selangor.

“Mewujudkan pangkalan data bahan halal yang akan menjadi sumber rujukan utama untuk pensijilan dari pelbagai sektor industri halal meliputi rantaian pembekalan di peringkat tempatan mahu pun global.

“Membina gudang simpanan moden dengan peruntukan RM500,000 pada 2022. Gudang ini bakal dibina di daerah Klang, sesuai dengan lokasi kemasukan barangan daripada luar negara dan kemajuan ekonomi di daerah tersebut,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata RM5 juta diperuntuk sebagai dana awal melaksanakan pembangunan kompleks perumahan pekerja Selangor bagi menyediakan kediaman kondusif yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Jelas beliau, projek kerjasama awam dan swasta itu akan dilaksana di lapan daerah di tanah seluas 145 ekar milik Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Lokasi pembinaannya di Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Petaling; Kawasan Perindustrian Pulau Indah, Klang; Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Hulu Langat; Taman Velox Bandar Rawang, Gombak; Telok Panglima Garang, Kuala Langat; Pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor; Brownfield Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan Sungai Lang, Sabak Bernam.


Pengarang :