Shamsul Amar (dua, kiri) menunjukkan ganja yang dirampas polis. Foto Facebook Polis Klang Selatan
AGENSISELANGOR

Polis tumpaskan sindiket dadah rumah setinggan, tahan lapan individu

SHAH ALAM, 17 NOV: Polis merampas 40.3 kilogram ganja bernilai RM117,009 selepas menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis, Klang minggu lalu.

Ketua polis daerah Klang Selatan memaklumkan pihaknya turut menahan lapan lelaki tempatan berusia 21 hingga 49 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Ketika serbuan, tiga suspek berada di hadapan manakala lima lagi dalam rumah. Dadah ditemui dalam tong ikan yang dibungkus kecil serta berbalut plastik hitam,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata rumah berkenaan dijadikan stor pembungkusan ganja sejak dua bulan lalu selain bekalan air serta elektrik disambung secara haram.

Shamsul Amar menjelaskan ganja berkenaan berkemungkinan baharu sahaja diperolehi sebelum dijual dalam bungkusan kecil berharga RM10 sepeket.

“Berdasarkan jumlah ganja yang dirampas, ia boleh dibekalkan kepada 10,000 penagih,” katanya menambah suspek direman hingga 19 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Pengarang :