Orang ramai melakukan pendaftaran masuk di kaunter sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 10 Jun 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Syarikat penerbangan digesa segera turunkan harga tambang

PUTRAJAYA, 27 NOV: Semua syarikat penerbangan di negara ini perlu segera menurunkan harga tambang penerbangan, tanpa perlu melibatkan campur tangan kerajaan secara berlebihan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Gesaan tersebut dibuat beliau menerusi catatan di laman Facebook miliknya hari ini, sambil menyifatkan harga tambang yang dikenakan syarikat penerbangan khususnya ke Sarawak ketika ini amat membebankan pengguna.

“Secara khususnya, ramai yang telah melahirkan rasa marah terhadap harga tambang penerbangan ke Sarawak yang amat tinggi, lebih-lebih lagi menjelang cuti hujung tahun dan awal 2022.

“Situasi ini memberi kesan kepada orang ramai, daripada pengembara hinggalah kepada ahli keluarga yang mereka rindui untuk bertemu semula setelah lama berpisah akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Sarawak telah melahirkan kekesalan berhubung harga tambang dan kekerapan penerbangan ke bumi kenyalang itu.

Menurut Wee, MOT mengadakan mesyuarat dengan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo, bagi membincangkan mengenai keperluan menurunkan harga tambang penerbangan bagi membolehkan penumpang menikmati kadar harga rendah menjelang akhir tahun ini.

“Sejurus pertemuan ini, Malaysia Airlines telah berjanji untuk menambah penerbangan ke Sarawak dan mengurangkan harga tambang ke Sarawak pada Disember, sekali gus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut.

“Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia untuk meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan,” katanya.

Bagaimanapun, Wee mengingatkan pemain industri agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini.

Di peringkat negeri Sarawak pula, beliau berkata MOT telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dan beberapa kerajaan negeri termasuk Sarawak, bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut, dengan mengambil kira usaha berterusan dalam membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

Wee turut memaklumkan beliau telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin, untuk meminta kerajaan negeri mengembalikan operasi mengawal selia frekuensi perkhidmatan penumpang udara kepada Mavcom.

“MOT memahami keperluan Sarawak untuk membendung Covid-19, kerajaan negeri dan agensi berkaitan mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan serta permintaan bergerak seimbang selain membenarkan syarikat penerbangan meningkatkan frekuensi perkhidmatan mereka berdasarkan pengoperasian yang dipacu oleh pasaran,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :