Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi Kelab Motosikal Helang selepas merasmikan Program Bantuan Masuk Sekolah Ahli Tawas Kelahiran 2015 di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 4 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

21,000 peserta Kiss, Kiss-IT terima manfaat bantuan kehidupan sejahtera

GOMBAK, 4 DIS: Seramai 21,000 penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan Kiss Ibu Tunggal (Kiss-IT) tahun ini akan menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) bermula Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif terbaharu melalui Belanjawan #Selangor2022 membolehkan golongan terbabit mendapat RM300 sebulan berbanding RM200 pada masa kini.

“Tahun ini, kesemua peserta Kiss dan Kiss-IT berjaya dibantu dengan RM200 setiap bulan untuk membeli barang keperluan sekali gus meringankan beban mereka sepanjang pandemik.

“Justeru, tahun depan kita masukkan semua peserta ini ke dalam program Bingkas. Mereka akan terima RM300 sebulan atau RM3,600 setahun disalurkan melalui akaun,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 2,157 ahli Tawas yang lahir pada 2015 mendapat bantuan berupa beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Belanjawan negeri dibentangkan Amirudin Jumaat lalu memperuntukkan RM108 juta bagi inisiatif Bingkas yang bakal memanfaatkan 180,000 individu di negeri ini.

Katanya, bantuan itu boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti dari membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak-anak serta menyara kehidupan rakyat.


Pengarang :