Pekerja KDEBWM membantu penduduk membersihkan kawasan terjejas akibat banjir di Pekan Batu 14, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir: Lori kutip sampah operasi hingga malam, percepat kutipan sisa pukal

SHAH ALAM, 27 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) melanjutkan operasinya sehingga waktu malam untuk mempercepatkan kutipan sampah pukal pascabanjir terutama di kawasan kritikal.

Pengarah Urusan Ramli Mohd Tahir berkata lanjutan operasi itu dimulakan sejak malam tadi selepas lebih banyak kawasan mula menerima bekalan elektrik yang membolehkan kerja kutipan dilanjutkan.

Ramli Mohd Tahir ketika wawancara bersama Media Selangor mengenai pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya, sebelum ini kerja-kerja pada waktu malam tidak dapat dilakukan pada waktu malam kerana keadaan gelap menyebabkan beberapa laluan tidak boleh dilalui.

“Ini strategi baharu kita laksanakan selepas menilai semula kerja dilakukan bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir,” katanya ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramli menambah pihaknya berdepan cabaran besar membersihkan sampah pukal daripada rumah, kedai dan kilang terjejas akibat banjir termasuk kekangan tenaga kerja yang perlu diberi rehat mencukupi.

“Bayangkan kepenatan dialami mereka bekerja dari awal pagi, maksimum kita boleh benarkan sehingga malam kerana mereka juga perlu berehat.

“Dalam keadaan sekarang ini, mereka juga terpaksa bekerja secara manual yang menambah beban tugas,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat dan dijangka selesai seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Ramli Mohd Tahir menunjukkan masa nyata pergerakan lori yang terbabit dalam operasi kutipan pukal pengurusan sisa pepejal pasca banjir di pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :