Lori KDEBWM mengangkut sampah dan sisa banjir di jalan Hulu Langat pada 27 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM
AGENSISELANGOR

Banjir: Operasi besar-besaran angkut sisa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 27 DIS: Operasi besar-besaran untuk mengangkut sampah dan sisa banjir di beberapa kawasan terjejas di Hulu Langat berjalan selama dua hari sehingga esok, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pasukan pembersihan kini giat menjalankan kerja di Taman Sri Nanding sebelum bergerak ke beberapa lokasi sehingga ke Sungai Lui yang terjejas teruk dalam bencana berkenaan.

Menurutnya, bagi melancarkan operasi itu pihaknya memohon kepada polis menutup laluan utama ke Hulu Langat bagi kenderaan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk tempoh dua hari berkenaan.

“Orang ramai diharap memberikan kerjasama untuk melancarkan pergerakan lori mengangkut sampah pukal ke stesen pemindahan di Batu 14 dan Sungai Serai, kita mahu melakukan sebanyak mungkin perjalanan bagi mempercepatkan proses pembersihan.

“Kita sebelum ini berdepan kesukaran kerana kehadiran banyak kenderaan dari luar ditambah jalan sempit menyebabkan pergerakan lori terhad,” katanya ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ramli berkata lebih 50 jentera KDEBWM digerakkan dalam operasi besar-besaran itu antaranya lori Roll On Roll Off (RoRo) selain mesin pengorek dan jengkaut bagi mempercepatkan kerja pembersihan.

Jelasnya, pergerakan jentera dipasang sistem pemantauan kenderaan itu akan dipantau di pusat kawalan terletak di Ibu Pejabat KDEBWM di sini.

“Kita dapat melihat pergerakan waktu nyata kenderaan terbabit bagi memudahkan membuat perancangan dan melancarkan operasi,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat.

Beberapa penempatan di Hulu Langat antara lokasi terjejas teruk akibat bencana banjir sehingga ada kediaman musnah dalam bencana berkenaan.

Timbunan sisa banjir ketika tinjauan Media Selangor di Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :