Misi bantuan pemindahan mangsa banjir oleh anggota penguat kuasa dan skuad Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sekitar Kuala Selangor pada 19 Disember 2021. Foto MPKS
AGENSI SELANGOR

Lapan pusat pemindahan tempatkan 1,715 mangsa banjir di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 1,715 mangsa banjir sekitar Kuala Selangor ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8.30 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor Mohd Tirmidzy Che Mat berkata jumlah itu membabitkan 493 keluarga yang terkandas susulan hujan lebat sejak Jumaat.

“Jumlah mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa selepas menerima laporan rasmi JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata pihaknya mengerahkan 20 anggota penguat kuasa dan 10 Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bagi mengurus kelengkapan diperlukan mangsa di PPS.

Yusli Askandar berkata anggota berkenaan turut mengawal lalu lintas dan keselamatan kawasan dinaiki air selain membantu kenderaan terkandas di jalan raya.

“Mereka juga melaksanakan operasi pembersihan pokok tumbang dan menggunakan segala aset yang ada di MPKS dalam operasi bantuan bencana banjir,” katanya.

Hujan lebat luar biasa sejak Jumaat, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180milimeter (mm) mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.


Pengarang :