Selangorkini
Kertas peperiksaan akhir tahun subjek Geografi dan pakaian yang diselamatkan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Changgang Ruzita Che Him dalam kejadian banjir di Kampung Chemperai, Dengkil pada 18 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PM minta agensi pengurusan bencana percepat bantuan mangsa banjir

SHAH ALAM, 18 DIS: Perdana menteri meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bekerjasama dengan wakil rakyat bagi mempercepatkan bantuan kepada mangsa banjir beberapa negeri termasuk Selangor.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana wakil rakyat juga mempunyai maklumat mangsa dan pengumpulan data yang dapat menyegerakan pemindahan serta bantuan.

Beliau turut mengarahkan semua aset kementerian digerakkan di kawasan terjejas bagi menyelamatkan penduduk dan membawanya ke pusat pemindahan sementara dengan segera.

“Saya juga telah mengarahkan Nadma menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi Nadma dan agensi terlibat,” katanya di Facebook.

Ismail Sabri menasihatkan mereka yang berada di kawasan terjejas supaya mematuhi arahan berpindah dan menjaga keselamatan diri.

Jelasnya, beliau akan terus memantau situasi bencana itu dan akan memaklumkan tindakan seterusnya.

Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan telah dinaiki air.

Terdahulu, banjir turut melanda Kelantan, Pahang dan Terengganu.


Pengarang :