Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor (dua, kanan) berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Twitter MBSA
AGENDANASIONAL

Raja Muda Selangor lawat mangsa banjir di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Twitter Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menyerahkan bantuan asas.

Masjid tersebut antara yang menyediakan tempat berteduh dan pemindahan sementara untuk mereka yang terkandas susulan banjir di beberapa kawasan sejak semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan kejadian banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga bimbang atas kesukaran yang dihadapi rakyat selepas menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.


Pengarang :