Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid menyiram air mawar di pusara Allahyarham Mohd Firdaus Sulaiman di tanah perkuburan Islam Qariah Masjid Jamek Datuk Klana Petra Sendeng, Sikamat, Seremban pada 13 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Seorang lagi mangsa insiden kebakaran kilang di Segamat meninggal dunia

SEGAMAT, 13 DIS: Anggota pasukan tindakan khas kecemasan (ERT) kilang memproses habuk kayu, yang cedera parah akibat letupan kebakaran kilang berkenaan di sini Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Segamat, pukul 9.24 pagi tadi.

Dalam kejadian pada 5.15 pagi itu, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, dan seorang pegawai bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Mohd Firdaus Sulaiman, 32, cedera parah ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.

Mohd Firdaus meninggal dunia kira-kira pukul 4.10 pagi tadi di hospital sama.

Adik Mohamad Azuraini, Azizul Mahrani, 36, yang mengesahkan perkara itu berkata dia menerima berita kematian abangnya daripada pihak hospital pada 9.30 pagi tadi.

Dia yang kebetulan bercuti di kampungnya di Felda Redong, dekat sini, berasa terkilan apabila hasrat mereka sekeluarga termasuk arwah untuk bercuti ke Selangor pada hujung minggu ini tidak kesampaian.

“Bagaimanapun kami reda menerima ketentuan ini dan jenazah abang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Redong selepas solat asar, hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Azizul berkata arwah yang telah bertugas di kilang itu selama 10 tahun, meninggalkan seorang isteri, Normala Sudirman, 40, dan tiga anak berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Sementara itu, rakan setugas Mohd Firdaus, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, menyifatkan pemergian kawan karibnya itu sebagai satu kehilangan besar.

Syed Putra, 52, yang melecur pada tengkuk pada kejadian tersebut, bagaimanapun hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dilepaskan selepas tiga jam dirawat.

Dia yang mengenali Mohd Firdaus selama hampir 10 tahun di balai yang sama berkata mereka sering bergurau serta berkongsi susah senang bersama terutamanya dalam hal berkaitan soal kerja.

Katanya, arwah merupakan sorang yang periang dan sering dianggap sebagai ‘pembakar semangat’ kepada mereka semua kerana dia seorang pegawai yang mengambil berat kepada setiap anggota yang bertugas di balai tersebut.

“Antara perkara yang saya dan anggota lain di sini paling ingati ialah ketika penularan pandemik Covid-19, arwah sering memberikan semangat kepada kami untuk terus bertugas sekali gus dapat menunaikan amanah sebagai petugas barisan hadapan.

“Hubungan kami di balai ini, bukan sahaja sebagai rakan setugas malah boleh dianggap sebagai satu keluarga, kami banyak menghabiskan masa bersama, bersarapan bersama dan selepas ini ia hanya tinggal kenangan untuk kami semua,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat.

Mohd Firdaus yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan tengah hari tadi, meninggalkan seorang balu dan anak perempuan yang berusia tiga tahun.

– BERNAMA


Pengarang :