Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tanaman kontan di tanah rizab dibenar dengan permohonan – MB

SHAH ALAM, 9 DIS: Individu yang berhasrat mengusahakan tanaman kontan di atas tanah rizab Kerajaan Negeri boleh memohon di Pejabat Tanah Daerah.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan sama ada Kerajaan Selangor membenarkan mereka yang mengusahakan tanah Kerajaan Negeri bagi aktiviti pertanian.

“Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2019…telah meluluskan garis panduan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di atas Tanah Rizab Kerajaan di Selangor yang menetapkan permohonan LPS di atas tanah rizab dibenarkan untuk tujuan pertanian (tanaman kontan).

“Garis panduan LPS ini diterjemahkan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bil.4/2015 yang berkuat kuasa pemakaiannya pada 23 September 2015,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu mereka yang berhasrat mengusahakan tanaman kontan boleh mengemukakannya ke Pejabat Tanah Daerah untuk pertimbangan selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil.4/2015.

“Aktiviti pertanian terhad kepada tanaman kontan sahaja di atas Tanah Rizab Kerajaan seperti rizab sungai, rizab jalan, rentis talian elektrik dan lain-lain tanah rizab negeri,” katanya.


Pengarang :