Para penyokong HARAPAN memasang bendera parti pada kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majlis Presiden: HARAPAN kekalkan logo, KEADILAN guna lambang parti hadapi PRN Johor

SHAH ALAM, 26 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akanmenggunakan lambang sendiri manakala parti lain menggunakan logo Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Majlis Presiden HARAPAN menerusi kenyataan bersama memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas hari ini.

“Sungguhpun ada pandangan berbeza berkaitan dengan permintaan KEADILAN mengenai penggunaan logo, mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN bersetuju untuk menghormati hasrat KEADILAN bahawa logo HARAPAN akan digunakan dan KEADILAN pula akan menggunakan logo KEADILAN,” katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Selain itu, Majlis Presiden juga bersetuju memuktamadkan agihan kerusi yang ditandingi KEADILAN, DAP dan Amanah.

“Majlis Presiden mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor yang akan datang,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon HARAPAN diserahkan kepada Guan Eng dan Mohamad Sabu

Pada 22 Januari Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata pilihan raya negeri perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya negeri selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), KEADILAN (tujuh) dan Amanah (enam).


Pengarang :