Papan tanda nama baharu dipasang pada 21 Januari 2022 bagi menggantikan papan tanda lama yang dikesan mempunyai kesalahan tulisan jawi di Jalan Dana Permai, Semenyih. Foto Majlis Perbandaran Kajang
PBTSELANGOR

Papan tanda salah ejaan jawi di Semenyih diganti

SHAH ALAM, 22 JAN: Papan tanda nama di Jalan Dana Permai, Semenyih yang dikesan mempunyai kesalahan tulisan jawi diganti semalam, maklum Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, penukaran papan tanda baharu mengikut spesifikasi dibuat dalam tempoh 24 jam selepas kesilapan berkenaan tular baru-baru ini.

Jelasnya, pemasangan papan tanda terdahulu dibuat pemaju mengikut kelulusan pelan infrastruktur pada 4 Oktober 2017 dan disahkan individu profesional mempunyai gambaran lengkap.

“Namun terdapat kesilapan dilakukan pembekal papan tanda nama tersebut di mana tulisan jawi tidak mengikut pelan kelulusan sebenar,” kata MPKj dalam kenyataan hari ini.

PBT itu menambah penyelenggaraan kemudahan di kawasan tersebut belum diserahkan kepada pihaknya, sebaliknya masih bawah tanggungjawab pemaju.

“Perlu ditegaskan bahawa semua pihak perlu memastikan keseluruhan pembinaan di tapak mengikut kelulusan pelan infrastruktur telah diluluskan,” katanya lagi.


Pengarang :