Selangorkini
Situasi banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM akui banjir di Selangor luar biasa, jentera urus bencana negeri tidak mampu tangani

SHAH ALAM, 20 JAN: Perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor bulan lepas melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam-kabut yang berlaku pada hari pertama … mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti (kerumitan) banjir bandar.”

Ismail Sabri juga mendakwa agensi penyelamat sukar mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera kerana bimbang keselamatan harta benda, jangkitan Covid-19 dan jarak pusat pemindahan jauh dari rumah.

“Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan usaha menyelamat berdepan kesukaran kerana banyak kenderaan terperangkap di jalan utama sehingga memaksa anggota penyelamat memikul aset ke kawasan terlibat.

“Bot penyelamat juga sukar bergerak kerana tersangkut kenderaan yang tenggelam. Selain itu kelewatan usaha menyelamat disebabkan alamat rumah diberi pemanggil gagal dikenal pasti kerana ditenggelami air,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata jurupandu turut digunakan membantu anggota penyelamat dari negeri lain kerana tidak arif selok-belok kawasan ditenggelami banjir.


Pengarang :