Lebuhraya Pantai Timur di Plaza Tol Gombak menuju Genting Sempah sesak berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina 2022 ketika tinjauan pada 29 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahun Baharu Cina: Aliran trafik di lebuh raya utama lancar

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar dan terkawal menjelang sambutan Tahun Baharu Cina esok.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat 11.35 pagi ini, aliran trafik menuju utara dan selatan negara lancar berikutan orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung halaman masing-masing bermula Jumaat lepas.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, LPT 2, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Skudai juga lancar di kedua-dua arah.

“Terdapat insiden pokok tumbang di Kilometer 31 arah utara Kulai-Sedenak, hanya lorong kecemasan terhalang,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik

– BERNAMA


Pengarang :