Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) mengiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) melawat galeri buku selepas pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Dewan Pro Canselor Unisel kampus Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa KPM, DBP martabat bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu

SHAH ALAM, 17 FEB : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu.

Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu penting kerana bahasa Malaysia merupakan bahasa utama digunakan di negara ini.

“Apabila membicarakan bahasa Malaysia mereka anggap kita mengetepikan bahasa Inggeris, kita tidak boleh mengekalkan suasana sekarang yang mana kita tidak memberi tumpuan untuk mengangkat bahasa Malaysia.

“Ini adalah peranan KPM dan DBP untuk kembali mengangkat kedudukan bahasa Malaysia malahan perlu lebih lantang dan kuat mempertahankan hal ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil dan Peluncuran Buku di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Anwar ketika diminta mengulas berhubung penubuhan Kursi Siddiq Fadzil berkata perjuangan Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil mengkukuhkan lagi kedudukan bangsa Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.

“Apa yang ditekan Allahyarham Siddiq adalah kita berakal pada bumi Melayu tetapi tidak harus meremehkan pandangan kaum lain. Kita perlu memartabat Malaysia dalam konsep kewarganegaraan dan kefahaman Islam,” katanya.

Menyentuh mengenai idea Siddiq yang dianugerah Tokoh Maal Hijrah tahun 2018, Ahli Parlimen Port Dickson itu menganggap Allahyarham merupakan tokoh pemikir yang sentiasa memberikan idea baharu untuk orang Melayu.

“Walaupun seorang pro Melayu, Allahyarham seorang yang menghormati agama dan kaum lain. Semasa hayatnya, beliau juga menyeru orang Melayu supaya sentiasa maju ke hadapan

Kursi Siddiq Fadzil ditubuhkan di Unisel bagi memperingati ketokohan Allahyarham Siddiq yang berpengaruh dalam bidang akademik dan kebudayaan Melayu.

Allahyarham meninggal dunia pada 31 Ogos tahun lalu dan beliau sebelum ini pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Presiden PKPIM sekitar 1970-an, selain Presiden ABIM pada 1980-an serta Presiden WADAH pada 2005.

Bapa kepada tujuh anak itu juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Pengarang :