Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir (tengah) melawat syarikat Sitamas Environmental System Sdn Bhd (Sitamas) di Shah Alam pada 24 Februari 2022. KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri mengambil alih 100 peratus saham syarikat itu mulai hari ini. Foto ihsan KDEBWM
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ambil alih syarikat swasta, perluas khidmat urus sisa industri

SHAH ALAM, 24 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat sampah swasta Sitamas Environmental System Sdn Bhd (Sitamas) mulai hari ini.

Pengarah urusannya berkata pembelian 100 peratus saham dengan kos RM9 juta sekali gus memberi tanggungjawab baharu kepada KDEBWM menguruskan sampah industri 1,300 kilang termasuk di Johor.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan pembelian dimuktamadkan semalam dilihat sebagai usaha menyelesaikan isu pembuangan dan longgokkan sampah haram di negeri ini.

“Pengambilalihan syarikat yang beroperasi lebih 20 tahun ini akan melengkapkan kitaran pengurusan sisa pepejal terutama sisa industri, komersial dan institusi.

“Ketika ini, KDEBWM hanya menguruskan kutipan sampah domestik dan pukal di 600 kilang sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor dan akan mengembangkan lagi khidmat di kawasan lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

KDEBWM, syarikat pengendali sisa pepejal negeri mengambil alih sepenuhnya pengurusan kutipan sampah domestik di semua pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Januari 2020.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga giat membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

 


Pengarang :