Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia beraksi ketika menentang pemain Singapura Loh Kean Yew pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 16 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA SUKANKINI

Layan pemain seperti anak sendiri, Lee Zii Jia bangga berguru semula dengan Indra

SHAH ALAM, 16 FEB: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia bangga diberi peluang berguru semula dengan Indra Wijaya selepas bergerak secara profesional.

Juara All England itu berkata pengendali skuad perseorangan wanita kebangsaan tersebut banyak membimbingnya sejak dari awal pembabitan dalam karier badminton.

“Sejujurnya saya gembira dapat bekerjasama lagi dengan beliau. Beliau salah seorang jurulatih yang menjadikan siapa diri saya sekarang (pemain badminton profesional).

“Beliau juga mesra dengan pemain, malah melayan saya seperti anak sendiri selain fokus terhadap kerja,” katanya ditemui selepas aksi perlawanan pertama kumpulan B menentang Singapura hari ini.

Dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, pemain nombor tujuh dunia itu mudah membenam juara dunia Loh Kean Yew 21-6, 21-14.

Kemenangan itu meletakkan kem badminton lelaki negara mendahului Singapura 1-0.

Hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh mengesahkan Indra, 48, sudah menghantar surat peletakan jawatannya minggu lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 seangkatan bekas juara dunia 1995 Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Beliau juga abang kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki Candra Wijaya.


Pengarang :