Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kiri) ketika majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina KEADILAN di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chyun, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Belanja RM78 juta tiap tahun laksana program pendidikan untuk rakyat

PETALING JAYA, 14 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM78 juta setiap tahun bagi menjayakan program pendidikan demi hala tuju masa depan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diagih merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sekolah jenis persendirian Cina tidak terkecuali kerana pendidikan merupakan keutamaan dan penting kepada semua.

“Sejak 2016 tiap tahun tanpa gagal kita beri RM500,000 untuk jamin (kelangsungan) sekolah persendirian ini.

“Adakah kita bantu sekolah Cina sahaja? Tidak. Kita ada RM24 juta untuk bantu 405 sekolah rendah agama, lebih 114 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan lebih 90 SJK Tamil,” katanya berucap di majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina 2022 Parti KEADILAN Rakyat malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina Parti KEADILAN Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chyun, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan parti.

Amirudin berkata segala proses bantuan dan bentuk sokongan kepada rakyat negeri ini diberi mengikut kepentingan dan keutamaan.

“Bantuan kita bukan untuk pilihan raya sahaja. Bukan untuk tarik simpati tetapi ikut hala tuju.

“Kita keluarga Selangor. Kita bertindak untuk semua. Bila saya dilantik jadi Menteri Besar, pimpinan (KEADILAN) nasihatkan saya supaya pastikan jadi Menteri Besar untuk semua,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Amirudin menyerahkan dana berjumlah RM24 juta untuk membantu infrastruktur 637 sekolah di negeri ini.

Jumlah itu melibatkan RM9.3 juta untuk Sekolah Rendah Agama (SRA), SJKC sebanyak RM9 juta manakala SJKT membabitkan dana RM4.5 juta.


Pengarang :