Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan di kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang dikebumikan dalam satu liang lahad di Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa pada 29 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Nahas maut empat beranak, pemandu rempuh kenderaan dituduh bunuh

BENTONG, 4 FEB:  Seorang penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas.

Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan, lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini pada 2.30 petang, 28 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia tertuduh.

Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine pada 11.45 pagi, 28 Jan lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine pada 12.05 tengah malam, 29 Jan lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan kemalangan tragis yang meragut nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

— BERNAMA

 


Pengarang :