e-Sukan antara bidang yang digemari masa kini kerana berpotensi melahirkan bakat baharu dan menjana pendapatan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sasar anjur pelbagai kejohanan, libat peserta luar negara

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai kejohanan sukan berskala sederhana di peringkat daerah mulai tahun ini dengan menyasarkan penyertaan dari luar negara.

Inisiatif bagi menyemarak semangat kesukanan itu dijayakan dengan kerjasama Tourism Selangor mengikut tatacara operasi piawai (SOP), kata EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Sebaik selesai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), kita akan turun jelajah ke daerah untuk anjurkan kejohanan sukan tetapi menjadikannya sebagai acara antarabangsa dengan melibatkan peserta luar negara.

“Objektif penganjuran adalah bagi membangkitkan semula semangat kesukanan sesuai dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya ketika ditemui pada BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor sentiasa mengorak langkah ke hadapan bagi memajukan industri sukan meskipun berdepan kekangan SOP susulan pandemik Covid-19.

“Kalau boleh kita tidak mahu industri ini mati. Atas faktor itu, kita sentiasa mencari ruang untuk bergerak memajukan sukan di Selangor.

“Kita juga tidak boleh menunggu keputusan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) semata-mata (penganjuran acara sukan). Oleh sebab itu kita ambil peluang yang ada untuk kembangkan bidang sukan,” katanya lagi.

 


Pengarang :