Ribuan tanglung merah menghiasi kawasan Tokong Thean Hou, Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 30 Januari 2022 bagi menaikkan semangat masyarakat Cina untuk menyambut Tahun Baharu Cina kali ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tahun Baharu Cina: Rai kelahiran Maharaja Jed dalam norma baharu

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan tahun baharu dalam kalendar lunar Cina dan disambut selama 15 hari oleh masyarakat Cina di seluruh dunia.

Bermula dengan hari pertama sehinggalah hari ke-15, masyarakat Cina akan menyambutnya dengan penuh adat dan tradisi serta pantang-larang, mengikut dialek masing-masing, yang mempunyai makna tersendiri.

Lazimnya, hari pertama dan kedua tahun baharu adalah sambutan terbesar buat masyarakat Cina di seluruh dunia, bermula dengan makan besar sehari sebelumnya sehinggalah aktiviti kunjung-mengunjung dan upacara penyembahan nenek moyang di rumah pada hari keduanya.

Namun, lain pula dengan masyarakat Cina berdialek Hokkien yang menyambut Tahun Baharu mereka pada hari kesembilan iaitu bersamaan dengan Hari Kelahiran Maharaja Jed, ataupun dikenali dengan ‘Ti Gong Dan’.

(Maharaja Jed adalah ketua dewa tertinggi yang memimpin semua dewa-dewi dan makhluk yang berada di tiga alam iaitu Alam Syurga, Manusia dan Neraka)

Persediaan untuk ‘Ti Gong Dan’

Suri rumah berdialek Hokkien, Lim Cheng Gek, 69, turut tidak melepaskan peluang untuk mengadakan upacara sembahyang Maharaja Jed yang merupakan acara wajib buat keluarganya yang tinggal di Jalan Ipoh (Kuala Lumpur), setiap tahun.

Bagi Lim, hari kesembilan merupakan sambutan terbesar dan lebih penting daripada hari pertama tahun baharu, yang turut dikenali dengan ‘Tahun Baharu Hokkien’.

Kebiasaannya, Lim sekeluarga akan membuat persediaan, sehari sebelumnya, iaitu dari segi barang-barang keperluan dan makanan untuk upacara sembahyang, antaranya babi panggang, ayam rebus, itik panggang, ikan dan pohon tebu.

Menurut beliau, bagi keluarga Hokkien, mereka sanggup berbelanja besar bagi sambutan ‘Ti Gong Dan’ kerana ia mempunyai kisah bermakna di sebalik sambutan itu, selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan berdoa untuk kesejahteraan hidup.

“Oleh kerana pada tahun ini kami meraikan Tahun Baharu dalam suasana pandemik, kami tidak boleh mengadakannya secara besar-besaran, berbanding sebelumnya, hanya keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), ” katanya kepada Bernama.

Legend ‘Ti Gong Dan’

Menurut Lim, sambutan ‘Ti Gong Dan’ adalah untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Maharaja Jed yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Hokkien di Wilayah Fujian yang ketika itu diserang oleh lanun sewaktu pemerintahan Dinasti Ming.

“Kejadian itu berlaku pada tahun baharu dalam kalendar lunar. Penduduk yang ketakutan melarikan diri daripada serangan lanun dengan menyembunyikan diri mereka di ladang tebu selama sembilan hari.

“Pada hari kesembilan, mereka mendapati kesemua lanun sudah beredar, maka terselamatlah mereka. Kebetulan pula hari itu adalah Hari Kelahiran Maharaja Jed.

“Sejak daripada itu, masyarakat Cina Hokkien percaya mereka dilindungi oleh Maharaja Jed yang membolehkan mereka bersembunyi di ladang tebu. Sebab itulah pada setiap sambutan ini, wajib untuk kami mempunya pohon tebu di rumah sebagai simbolik untuk memperingati peristiwa itu,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Lim, Penny Kwek, 46, berkata, acara kemuncak bagi sambutan ‘Ti Gong Dan’ adalah pada pukul 11 malam yang mana upacara sembahyang akan bermula, iaitu bermula pukul 11 mlm Selasa hari ke 8, sehingga awal pagi Rabu, hari kesembilan)

“Bagi masyarakat Cina, kami percaya bahawa setiap permulaan hari baharu adalah pada pukul 11 malam, jadi upacara penyembahan Maharaja Jed akan dilakukan tepat pada pukul 11 malam sehinggalah ke awal pagi, keesokan harinya.

“Sebelum menyertai upacara sembahyang, seisi keluarga akan memakai pakaian baharu selepas mandi. Pelbagai jenis makanan serta barang pemujaan diletakkan di atas meja di hadapan rumah dengan pohon tebu dipacak di kiri dan kanan meja berkenaan,” jelasnya.

Menurut Kwek, terdapat sedikit kelainan cara penyembahan Maharaja Jed masyarakat Cina Hokkien di utara Malaysia, khasnya di Pulau Pinang dan Selatan, iaitu di Klang (Selangor) dan Johor.

“Oleh kerana kami adalah masyarakat Cina Hokkien dari Pulau Pinang, kami akan menyediakan dua buah meja dengan meja tinggi diletakkan dengan makanan bukan daging, dan meja rendah untuk lauk-pauk berdaging serta colok besar di hadapannya.

“Namun di kawasan lain seperti Klang dan Johor, mereka hanya menggunakan satu meja sahaja dengan meletakkan kesemua lauk-pauk di atas meja dan colok di hadapannya dengan satu pondok kecil yang diperbuat daripada kertas sebagai simbol Maharaja Jed,” katanya.

Cara sembahyang dan pantang larang 

Kwek menambah, upacara bermula dengan ahli keluarga yang tertua dalam keluarga memberi penghormatan kepada Maharaja Jed dengan colok dan arak, diikuti dengan giliran ahli keluarga yang lebih muda.

Upacara berkenaan berakhir dengan mereka membakar longgokan duit kertas yang dilipat dalam bentuk wang kuno yang dikenali dengan nama ‘Yuan Bao’. Mercun dan bunga api juga dibakar bagi memeriahkan suasana.

“Selain itu, bagi keluarga yang berkemampuan, mereka akan menjemput kumpulan tarian singa untuk menambahkan lagi suasana meriah.

“Selepas acara penyembahan, kami seisi keluarga biasanya menikmati makanan penyembahan kerana kami percaya menikmati makanan yang melalui upacara sembahyang akan membawa keberkatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Kwek, walaupun upacara penyembahan itu adalah wajib untuk disertai oleh seisi keluarga, namun ia ada pengecualian dan pantang larangnya.

Sebagai contoh, jika ada dalam kalangan ahli keluarga meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun, mereka tidak boleh menyambut ‘Ti Gong Dan’ dan perlu berkabung dalam tempoh 100 hari hingga tiga tahun, bergantung kepada keluarga masing-masing.

“Jika mana-mana ahli keluarga wanita yang datang haid ataupun sedang berpantang, mereka juga tidak dibenarkan untuk menyertai upacara penyembahan kerana dikatakan kotor dan tidak suci.

“Semua ahli keluarga yang terlibat digalakkan memakai pakaian berwarna ceria seperti kuning dan merah, dan tidak dibenarkan memakai pakaian berwarna suram dan gelap kerana ia melambangkan kesedihan,” katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan negara masih diancam wabak COVID-19, beliau sekeluarga cuba mengehadkan kunjungan sanak-saudara dan sahabat handai sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kami terpaksa menyambutnya secara sederhana dan tidak menjemput terlalu ramai tetamu kerana mahu menjaga SOP. Meskipun begitu, kami tetap akan meneruskan tradisi dan warisan ini.

“Semoga dengan sambutan Hari Lahir Maharaja Jed, hidup kami akan sejahtera dan makmur. Kami mendoakan agar pandemik Covid-19 akan berakhir dan kita akan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :