Selangorkini
Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Lanjan bantu wanita barah serviks dapat rawatan di PPUM

PETALING JAYA, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan membantu golongan wanita yang didapati positif Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim semalam bagi mendapatkan rawatan susulan.

Elizabeth Wong berkata mereka akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani rawatan itu sehingga pulih sepenuhnya.

“Kita hantar mereka ke pusat itu dan ditanggung sepenuhnya Yayasan ROSE. Kita akan buat susulan dengan keputusan dan kesan ujian saringan selain memastikan semua pesakit dijaga sepenuhnya.

“Untuk hari ini (semalam), sambutan diterima menggalakkan dan tidak menyangka wanita kini semakin prihatin kerana saringan serviks kurang diberikan perhatian,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong bercakap ketika sidang media selepas program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Elizabeth berkata pihaknya bercadang menganjurkan saringan buat kali kedua pada Mei depan supaya lebih ramai wanita menerima manfaat sekali gus dapat mencegah barah serviks.

Terdahulu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud hadir merasmikan Program PCR Ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai semalam.

Program itu merupakan kerjasama antara Pusat Wanita Berdaya (PWB), Yayasan ROSE dan Malaysia Women Marathon.

Sementara itu, Penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan Juliana Abu Bakar berkata tujuan saringan diadakan untuk beri kesedaran kepada golongan wanita kepentingan mencegah barah serviks.

“Kita sasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan di pusat perumahan rakyat (PPR) menjalani ujian secara percuma.

“Hasil soal selidik mendapati majoriti daripada mereka tidak pernah melakukan saringan tersebut,” katanya.


Pengarang :