Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) mengedar sumbangan kepada peniaga ketika Majlis Perasmian Pasar PJ@Kita Sri Damansara, Petaling Jaya pada 25 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PBT pantau pasar awam pastikan tiada peniaga asing

PETALING JAYA, 25 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus memantau operasi pasar awam di negeri ini bagi memastikan tiada warga asing berniaga.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara langkah dibuat termasuk meletakkan pejabat PBT di tapak niaga untuk mengawal keadaan semasa.

“Bagaimanapun, bukan semua pasar awam memiliki pejabat ini. Pasar baharu mungkin ada kerana memikirkan keperluan itu berbanding pasar yang sudah lama beroperasi, namun kita tetap pantau.

“Isu warga asing berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab pemilik premis dan Selangor memang tidak pernah benarkan mereka berniaga termasuk di pasar pagi dan malam,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pasar PJKita@Sri Damansara di sini hari ini, satu lagi kemudahan baharu untuk manfaat penduduk sekitar.

Pasar awam yang beroperasi minggu ini menjual barangan basah dan kering selain memiliki medan selera yang dilengkapi aspek keselamatan baik.

Selangor menguat kuasa polisi melarang warga asing berniaga, memiliki lesen atau atau diambil bekerja di pasar awam dan premis kecil sejak 2019.

Tindakan itu bagi memelihara hak warganegara sekali gus menjamin kepentingan peniaga tempatan.


Pengarang :