Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amirudin Shari berucap ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Muar pada 10 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Politik Johor tidak stabil sejak kerajaan HARAPAN ditumbangkan

MUAR, 11 MAC: Ketidakstabilan politik tanah air termasuk Johor berlaku sejak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dipilih rakyat pada 2018 ditumbangkan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kekerapan pertukaran perdana menteri dan menteri besar Johor membuktikan ketidakstabilan itu.

Mengajak pengundi memilih KEADILAN demi kestabilan politik, beliau juga mengingatkan HARAPAN mengadakan memorandum persefahaman dengan kerajaan persekutuan supaya ketidaktentuan politik negara tidak berlarutan.

“Apa yang berlaku di Johor ketika ini adalah parti-parti yang menubuhkan kerajaan selepas ‘Langkah Sheraton’ hingga berlaku ketidakstabilan dalam negara.

“Kita bersetuju membuat ‘mutual understanding’ di Johor, juga persekutuan supaya kerajaan sedia ada tidak tumbang. Yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, Umno. Di Johor, yang tukar menteri besar sebelum ini pun mereka,” katanya.

Beliau berucap ketika berkempen bagi membantu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning Md Ysahrudin Kusni dari KEADILAN di sini malam tadi.

Penyandang kerusi itu berdepan Datuk Mohd Fuad Tukirin dari Barisan Nasional (BN), Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional), Datuk Ibrahim Shafe’e (Pejuang) dan S Jeganathan (Bebas).

Datuk Osman Sapian dari HARAPAN menjadi menteri besar antara 12 Mei 2018 hingga 8 April 2019 diikuti Datuk Dr Sahruddin Jamal (Perikatan Nasional) antara 14 April 2019 hingga 28 Februari 2020 dan Datuk Seri Hasni Mohammad (Barisan Nasional) mulai 28 Februari sebelum dewan dibubar.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar juga membandingkan suasana politik Johor dengan Selangor yang stabil sekali gus memudahkan pentadbiran negeri membantu rakyat antaranya mengadakan program jualan murah dan pemberian vaksin.

Beliau juga menjelaskan Selangor kekal penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan menyumbang hampir 25 peratus manakala Pulau Pinang, sebuah lagi negeri tadbiran HARAPAN, menyumbang hampir 16 peratus.


Pengarang :