Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengurniakan ijazah kepada graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di Serdang pada 21 Mac 2022. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia
AGENDANASIONAL

Raja Muda Selangor kurnia ijazah kepada 1,024 lagi graduan UPM

SERDANG, 21 MAC: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan ijazah kepada 1,024 graduan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di sini.

Pro Canselor UPM itu mengurniakan ijazah antaranya kepada graduan Fakulti Sains, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Rekabentuk dan Senibina selain berkenan mengurniakan diploma kepada graduan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan serta Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains.

Istiadat konvokesyen yang bermula Sabtu lepas hingga Khamis ini melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Sarjana Muda (3,564) dan Diploma (483).

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman ketika berucap pada istiadat yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di universiti itu mahu setiap warga UPM mengekalkan kesepakatan dalam memenuhi misi dan matlamat universiti.

“Segala yang diimpi memerlukan kemampanan kerja berpasukan serta kesepakatan antara pensyarah, pentadbir dan pelajar. Dengan semangat ini, kita dapat realisasikan UPM sebagai menara ilmu yang disegani,” katanya.

Berkongsi pencapaian terkini UPM, Mohd Roslan berkata universiti itu kini berada di kedudukan ke-143 di Asia dalam QS Asia University Rankings 2022.

Beliau berkata penghasilan graduan yang berkualiti dan diterima majikan dari dalam serta luar negara menjadi faktor kepada pencapaian tersebut.

“Kebolehpasaran graduan UPM merekodkan pencapaian yang tinggi iaitu 95.4 peratus tahun lepas,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :