EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap pada majlis penyampaian Insentif Rahmah Ramadan kepada pegawai-pegawai masjid kariah negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Shah Alam pada 28 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Solat sunat Aidilfitri ikut peraturan sedia ada

SHAH ALAM, 28 APRIL: Solat sunat Aidilfitri di masjid, surau dan musala di seluruh Selangor adalah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada iaitu lebih longgar berbanding tahun lalu.

EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kelonggaran itu adalah seiring dengan situasi semasa negara yang kini sudah memasuki fasa peralihan endemik.

“SOP bagi solat sunat Aidilfitri adalah sama seperti solat sunat tarawih dan tiada sebarang penambahan. Jika ada (perubahan) kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Jadi, jemaah masih perlu memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri ketika menunaikan solat sunat hari raya nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian Insentif Rahmah Ramadan kepada pegawai-pegawai masjid kariah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Pengarah Jais Dato’ Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :