Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan (kiri) menahan sebuah kenderaan berat ketika Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara (Arah Selatan) pada 17 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ dilengkapi 100 unit kiosk baharu menjelang akhir tahun

AYER HITAM, 1 APR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah sebanyak 100 unit kiosk baharu di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pihaknya juga akan menempatkan kios yang sama di beberapa kawasan strategik termasuk pejabat kerajaan di kementerian tertentu, stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

Katanya, bagi pejabat bergerak pula, MOT telah menyediakan 20 unit van JPJ yang telah diubah suai bagi urusan di lapangan yang dapat digunakan oleh petugas di seluruh negara bagi menepati aspirasi JPJ dalam menyampaikan khidmat menjangkaui seluruh rakyat umum.

“Dengan adanya kemudahan dan bajet tambahan berkenaan, maka saya yakin dan percaya hasrat jabatan untuk mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM4.12 billion bagi 2022 mampu dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun JPJ Ke-76 di Dewan Muafakat Ayer Hitam, di sini.

Tambah Wee, bagi memperkasakan khidmat JPJ kepada masyarakat, MOT turut melancarkan pengujian sistem elektronik (e-Testing) ujian lesen memandu secara automatik yang bertujuan meningkatkan lagi integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu.

Katanya, e-Testing berkenaan merupakan suatu inisiatif bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan JPJ melalui peningkatan keberkesanan sistem pengujian memandu kepada calon-calon.

“Pengukuran prestasi calon-calon ujian memandu akan dijalankan secara elektronik (tiada campur tangan manusia) dan keputusan Ujian Memandu akan dijana secara masa nyata.

“Pihak kementerian juga mewujudkan sistem e-aduan@JPJ yang berperanan sebagai salah satu jabatan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan, pengurusan aduan yang efisien adalah antara aspek yang perlu diutamakan,” katanya

Sementara itu, dalam majlis sama Wee turut melancarkan nombor pendaftaran plat kenderaan baharu bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula dengan abjad FE, yang boleh dibida mulai hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :