Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jelajah seluruh Selangor perkenal program kesihatan untuk rakyat

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri akan menjelajah ke seluruh Selangor bagi memperkenalkan beberapa program kesihatan untuk rakyat selepas Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu meliputi saringan kanser usus, payu dara, katarak mata dan jantung.

“Dalam MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) hari ini, kita telah menetapkan beberapa program penjagaan kesihatan khusus yang akan diketengahkan kepada rakyat.

“Saya percaya tiada negeri atau kerajaan di Asia Tenggara yang mempunyai program kesihatan selengkap itu,” katanya berucap pada majlis iftar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di kediaman rasminya di sini semalam.

Turut hadir Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Tian Chua termasuk beberapa pimpinan lain.

Pada 13 Februari lalu, EXCO kesihatan berkata Kerajaan Negeri akan menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Mac bagi menjalankan program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor).

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan program pemeriksaan kesihatan percuma itu memfokuskan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntukkan dana berjumlah RM6.1 juta dana bagi tiga skim rawatan iaitu jantung, tibi dan Slim Selangor.

Sebanyak RM1 juta turut diperuntuk untuk rakyat negeri ini menjalani mammogram, serviks, kolorektal dan prostat.


Pengarang :