Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor (dua, kiri) menyampaikan sijil Duta Sifar Sisa (D0S) kepada seorang daripada 24 penerima mewakili 24 zon Majlis Perwakilan Penduduk sekitar Shah Alam ketika majlis perasmian Program Kelestarian Alam Sekitar 2022 di Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA: Program lestari alam sekitar pupuk amalan kitar semula

SHAH ALAM, 1 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program Kelestarian Alam Sekitar 2022 bagi memupuk amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kempen dengan kerjasama Fraser & Naive Holdings Bhd dan Jabatan Pendidikan Selangor berlangsung mulai hari ini sehingga 31 Oktober depan.

Menurut Shahrin Ahmad, antara aktiviti dilaksanakan adalah pertandingan kitar semula peringkat sekolah membabitkan tadika, sekolah rendah dan menengah.

“Turut diadakan pertandingan video kitar semula dan upcycling mural sekolah rendah serta terdapat anugerah khas disediakan MBSA bagi sekolah yang menghantar bahan plastik, aluminium dan tetra-pek terberat.

“Turut diadakan pertandingan kitar semula di Bangunan Wisma MBSA mulai 1 April sehingga 28 Oktober dan peringkat majlis perwakilan penduduk (MPP) (1 April hingga 31 Oktober) untuk kutipan minyak masak terpakai,” katanya menerusi kenyataan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor bersama Pengarah Komunikasi Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Fraser & Neave Holdings Bhd Karen Tan ketika majlis perasmian Program Kelestarian Alam Sekitar 2022 MBSA di Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto MBSA

Shahrin berkata pihak Fraser & Naive Holdings Bhd turut menyumbang wang tunai RM22,700 bagi menjayakan program itu untuk ditawarkan kepada pemenang bertuah.

Pemenang pertandingan kitar semula peringkat tadika akan menerima wang tunai RM500 diikuti tempat kedua (RM400), ketiga (RM300) dan masing-masing keempat serta kelima (RM100).

Manakala, bagi sekolah rendah dan menengah tempat pertama RM2,000 diikuti kedua (RM1,700), ketiga (RM1,500), keempat (RM1,200) dan kelima (RM1,000).

Turut ditawarkan hadiah khas bagi pengumpul aluminium dan plastik tertinggi bagi sekolah tadika menerima wang tunai RM200 manakala sekolah rendah dan menengah masing-masing RM700.

Kategori kotak minuman tertinggi peringkat tadika menerima wang tunai RM700 dan sekolah rendah serta menengah masing-masing RM2,100.


Pengarang :