Pengunjung mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki bazar Ramadan Taman Greenwood, Gombak pada 3 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Operasi bazar Ramadan terkawal, pengunjung patuhi SOP

SUBANG JAYA, 5 APRIL: Kerajaan Negeri setakat ini berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan meskipun bilangan pengunjung tinggi.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran arahan dalam tempoh dua hari bazar beroperasi.

“Hari ini sudah masuk hari ketiga puasa dan dalam tempoh dua hari sebelum ini saya lihat pematuhan SOP di situ terkawal dan baik walaupun ramai.

“Saya juga akan meninjau beberapa bazar Ramadan selepas ini dan terdekat pada Khamis bagi melihat sendiri situasi,” katanya selepas melawat Bandar Puteri Puchong Town Park di sini hari ini.

Pihak berkuasa tempatan negeri menawarkan 11,967 petak bazar Ramadan tahun ini setelah mengambil kira keadaan semasa penularan Covid-19 dalam negara.


Pengarang :