Murid-murid beratur membeli makanan pada hari pertama pembukaan sekolah ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Syed Idrus, Chemor pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar sekolah rendah dibenar hadir tanpa penggiliran bermula 17 April

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa semua murid dibenarkan hadir ke sekolah rendah secara bersemuka tanpa penggiliran bermula 17 April ini bagi negeri kumpulan A dan 18 April bagi negeri kumpulan B.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat selepas melihat proses sesi persekolahan secara bersemuka dengan penggiliran bagi sekolah rendah sejak 21 Mac lepas dan sesi persekolahan secara bersemuka tanpa penggiliran bagi sekolah menengah sejak Isnin lepas.

“Jadi anak-anak di sekolah rendah yang sebelum ini hadir secara bergilir, bermula 17 April di negeri kumpulan A dan 18 April bagi negeri kumpulan B, boleh datang sekolah tanpa penggiliran,” katanya menerusi rakaman video dalam sesi Tanya DRJ di laman Facebook beliau hari ini.

Berdasarkan takwim KPM, negeri kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala negeri lain diletak dalam kumpulan B.

Sebelum ini, KPM menetapkan murid Tahun 3, 4 dan 5 hadir ke sekolah secara penggiliran terutama di sekolah yang melebihi 600 orang manakala bagi yang jumlah pelajar di bawah 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan sekolah swasta perlu hadir tanpa penggiliran.

Radzi turut menasihati semua murid dan guru supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan ketika berada di sekolah walaupun negara sedang bergerak ke arah Fasa Peralihan ke Endemik.

Beliau juga memohon jasa baik ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan anak mereka bahawa kepatuhan kepada SOP itu satu keutamaan.

– BERNAMA


Pengarang :