Ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar seru pertahan kebebasan badan kehakiman negara dari campur tangan politik

SHAH ALAM, 8 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru badan kehakiman untuk terus mempertahan kebebasan institusi itu dari campur tangan politik terutama dalam kes berprofil tinggi.

Ketua pembangkang itu percaya usaha mengembalikan kebebasan institusi tersebut sering diganggu gugat apabila sesetengah keputusan mahkamah tidak memihak kepada pimpinan politik semasa.

“Hakim-hakim mula berani menghukum dengan tidak mengikut selera pimpinan politik. Ada percubaan percubaan parti lama untuk mempertikai, malah sekarang ini cuba mencabar kekuatan kedaulatan.

“Badan kehakiman perlu bebas daripada saki-baki pengaruh politik dan kezaliman,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Generasi Keadilan: Muafakat Generasi, Penerus Reformasi di sini hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu juga menjelaskan isu kebebasan badan kehakiman diperjuang parti pembangkang, pengkritik sosial dan penulis sejak dahulu lagi.

“Kita pertahan kebebasan badan kehakiman kerana kita rasai sendiri apa erti hakim bobrok, korup. Kalau ini boleh berlaku ke atas pemimpin negara, bahaya kepada rakyat biasa,” katanya.

Ucapan itu dipercayai merujuk tindakan SPRM yang menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas dakwaan berkaitan dana dalam akaunnya.

Nazlan mengendalikan perbicaraan kes SRC International yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.


Pengarang :