Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika program debat di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MATIC Kuala Lumpur pada 12 Mei 2022. Foto Twitter BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar tolak cadangan Najib guna Petronas selamatkan Sapura

SHAH ALAM, 12 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) yang berdepan kemelut kewangan menggunakan dana
Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Dalam program Debat Perdana yang disiar secara langsung pada malam ini, ketua pembangkang itu mengingatkan bekas perdana menteri bahawa Petronas adalah syarikat berkaitan kerajaan sekali gus bermakna ia juga milik rakyat.

“Banyak kali saya dengar kata tidak guna sesen pun. Ada masalah saja, kata tidak ada guna sesen pun. Tak ada satu sen apa? (kalau) Petronas yang ambil alih, itu bilion-bilion.

“Petronas ini milik siapa? Milik kerajaan, maknanya milik rakyat juga,” kata presiden Parti Keadilan Rakyat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.

Terdahulu, Najib mencadangkan Sapura Energy yang dianggapnya banyak kepentingan kepada negara boleh diselamatkan “tanpa sesen pun” wang kerajaan dengan Petronas mengambil alih syarikat berkenaan.

Anwar sebaliknya menegaskan audit forensik perlu dijalankan bagi memastikan punca masalah sebenar Sapura Energy sebelum kerajaan mempertimbang untuk campur tangan dengan membantu syarikat itu.

“Pada 2018 tatkala kerugian mencatat lebih RM2.5 bilion, pendapatan ketua pegawai eksekutif RM71.9 juta. Hendak selamatkan syarikat bukan dengan bantu atau ‘bail-out’ tetapi perlu ada audit forensik

“Contohnya, bila saya diarah bantu Perwaja, apa yang saya lakukan? Saya minta PwC (Pricewaterhouse Coopers) gunakan seluruh kuasa lakukan audit forensik,” katanya.

Sapura Energy mencatat kerugian bersih RM8.9 billion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 berbanding kerugian sama berjumlah RM160.87 juta  pada tahun sebelumnya.


Pengarang :